Wednesday, March 20, 2013

Aku Kampung dan Kota #2


Hai kawan siapa sangka,menjejak kaki ke universiti itu satu mimpi yang menjadi rebutan para anak muda.Lagi aku anak kampung yang kehausan pengalaman dan kecetekan ilmu.Kehidupan di kampung selama lebih 18 tahun,apa yang aku boleh jelmakan selain bercita-cita meletak batu aras untuk mengembara ke dunia luar.Hanya dengan ilmu anak kampung mampu menongkah arus kehidupan yang luas.

Universiti Malaya merupakan university tertua di Malaysia,university yang melahirkan bakal ilmuan terulung seperti ProfesorDiraja Ungku Aziz.Hah bagi anak urban orang seperti aku pasti menyedihkan,tinggal di kampung dan bercita-cita untuk menabur jala kehidupan di Bandar.Kau pasti tahu bukan kawan bahawa university tertua ini terletak di Bandar Metropolitan Kuala Lumpur.

Pasti aku ingat kecilnya aku,hanya mempunyai kesempatan melawat Kuala Lumpur untuk beberapa ketika,melihat monument hebat seperti Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur yang gah menjadi latar belakang kota ini.

Hah kini buka saja jendela pasti aku dapat melihat kelibat kedua-dua monument hebat itu.Tanggal aku menjejak kaki di university tua ini,berdebar rasa hati,aku bakal menjadi sebahagian dari dunia intelektual universiti tertua ini.

Dihantar ayah bondaku serta keluarga ke tanah Malaya ini,berbekal semangat seorang anak kampung yang berjiwa besar.

Kau tahu,teknologi di kota ini sangat asyik,komuternya,monorelnya dan bangunannya.Tapi sering aku tersentap melihat alamnya yang kian sesak dan menghitam,kotoran teknologi memuntah kepada alam.Alam menjadi mangsa keemasan teknologi.

Aku gugup pada mulanya hidup di kota yang penuh dengan dua  pemberat yang sangat imbang,positif dan negatif.

Sempatku coret sebuah puisi untuk aku beringat ketika menjejak kaki di sini.

“Kampung yang kecil tertutup-tutup kerlipan cahayanya,
Kampung kecil yang sering bermandikan peluh dan keringatnya,
Tetapi jiwanya tetap setinggi Himalaya,
Aku anakmu yang takut goyah disisi moden,
Boleh aku mencuri jiwamu wahai kampungan kecil untuk santapan dan pesanan diri?”

Indah bukan kalau puisi seperti seni percakapan yang boleh beralun mengambarkan jiwa kita.Menjejak kaki disini sebenarnya aku dibayangi dan ditemani perasaan gundah yang kehilangan cinta seorang kekasih.Membawa diri sampai ke kota untuk cuba bangkit melupa kenangan silam.Sebenarnya manusia memang tidak lari dari hidup di dalam kerangka memori,memori menerjah dan menerobos jiwamu untuk bangkit dan tenggelam.

Saat pertama kali aku menjejak kaki di dewan kuliah,Profesor tuaku yang seiring dengan tuanya fakulti dan universiti tua ini tersenyum menyambut kami graduan sarjana muda sejarah ke dalam dewan.Namanya gah iaitu Profesor Abdullah Zakaria,seorang intelektual Melayu yang obses dengan sejarah ketamadunan Melayu klasik.Kajiannya tentang muncul Melaka lebih awal dari catatan Tom Pires yang seperti kita tahun sekitar tahun 1400 masehi disangkal dan dibuktikan oleh beliau Melaka sudah wujud awal sekitar tahun 1262 masehi.Hebat bukan.

Tetapi sayang,pertiwiku tidak sangat menghargai ilmu baru dan kajian baru.Kau lihat saja surat khabar,sentiasa artis dan politik menguasai cerita.Bidang ilmu dipandang enteng.Lagi jabatan dan subjek aku ini adalah subjek dasar dan klasik,bukan seperti subjek teknologi dan sains yang lebih kedepan.Tetapi kawan,tanpa sejarah engkau tidak mampu untuk memperbaiki kesilapan bukan?

Saat langkahku tiba di dewan kuliah yang bersuhu seperti di kawasan Serbia yang sejuk itu,aku terpanar,ouh tidak,tanah dan bumiku pijak ini adalah tanah yang dulu dipijak oleh mereka yang berpengaruh,engkau pasti kenal Anuar Ibrahim,Abdullah Ahmad Badawi?Mereka ahli politik yang segak mencanang idea pemerintahan negara pertiwiku Malaysia.Ah politik itu cerita orang tua,aku tiada kemahuan dan kepakaran berbicara tentangnya.

Seperti Andrea Hirata pernah menulis di dalam bukunya Sang Pemimpi,”padah dan sakit menjadi politikus kerana hartamu yang diusahamu pasti tidak dipercaya ramai kerana bagi masyarakat,hartamu adalah harta mereka”nampak bukan sonsangnya bila engkau bergelar “Yang Berbahagia” atau YB.

Fakulti Sastera dan Sains Sosial itu tua benar wajahnya,berumur hampir 40 tahun.Bangunannya mirip seni bangunan lama zaman pasca merdeka.Tetapi jiwanya seakan sesuatu yang merinding romaku.
Aku sendirian,anak kampung polos yang terdampar di university tertua dan di tengah Bandar metro.Aku merindui setiap saat dan detik ketika di kampung dan keluarga.

Seperti kata ibuku,bila dewasamu haruslah kau mengembara mencari erti hidup.
Impianku ingin menjadi seorang intelektual yang mengembara di serata bumi sejuk eropah,dataran panas Afrika dan tanah hujan Asia mungkin mampu tercapai?

Ouh anak kampung harus ada mimpi,mimpi inilah yang mampu membawa engkau menorobos dunia masa depan walau segala kejadian ditakdirkan tuhan.Jadi kawanku, bermimpilah kalian agar kalian tidak lelah untuk bangkit dari tidur dan mimpi-mimpi bisikan semangat itu.

Berbekalkan semangat 2 tahun aku di dalam keajaiban ketika menuntut tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Onn,mungkin aku harus memanjangkan mimpi-mimpiku untuk dicantum menjadi satu lakaran lukisan yang cantik satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...